
NEW YORK – Dua rakyat Myanmar ditahan semalam kerana didakwa terlibat dalam komplot untuk mencederakan atau membunuh Duta Myanmar ke Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut The Guardian, dua lelaki itu, Phyo Hein Htut, 28, dan Ye Hein Zaw, 20, telah didakwa di mahkamah di atas tuduhan melakukan konspirasi untuk menyerang seorang wakil negara asing yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.
Catatan mahkamah menyebut, Hein Htut mendakwa bahawa dia dihubungi oleh seorang pengedar senjata Thailand secara online yang meminta bantuannya mencari mengupah penyerang supaya mencederakan duta tersebut.
Sementara itu, Duta Myanmar berkenaan, Kyaw Moe Tun mengesahkan kepada Reuters bahawa beliau ada menerima ancaman dan pihak keselamatan Amerika Syarikat (AS) sudah meningkatkan kawalan keselamatan terhadapnya.
Moe Tun merupakan wakil Myanmar ke PBB mewakili kerajaan terdahulu sebelum junta tentera merampas kuasa.
Beliau kemudiannya dipecat daripada jawatan itu oleh kerajaan baharu yang memerintah, namun PBB masih mengekalkan kedudukan Moe Tun kerana badan dunia itu tidak mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar.