Dua maut dalam amuk di dek kapal di Kuching

0
115
Anggota polis melakukan siasatan di atas sebuah kapal di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan, Kuching.

KUCHING – Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditetak rakan sekerja dalam kejadian di sebuah kapal ikan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan dekat sini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila suspek menyerang tiga orang rakannya yang sedang tidur di dek kapal berkenaan menggunakan sebilah parang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Macha Ata berkata, susulan itu, dua mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah.

“Mangsa yang terbunuh adalah dua lelaki tempatan manakala seorang lagi cedera dengan kesan tetakan objek tajam.

“Dia telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut, setakat ini keadaanya stabil,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu telah dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat.

Sementara itu menurut Mancha, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Bintawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Difahamkan suspek telah bekerja di atas kapal tersebut sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun kata Mancha, punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan pihaknya.

Suspek dari Pontianak, Indonesia itu direman sehingga 23 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Selain suspek turut disiasat mengikut Seksyen 307 kanun sama atas cubaan membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here