Golongan anti-vaksin mula ‘buru’ sijil digital vaksin

0
448
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Golongan yang menolak vaksin dilaporkan mula menggunakan pelbagai helah bagi mendapatkan sijil digital vaksin.

Menurut portal The Star, golongan tersebut difahamkan turut menawarkan sehingga RM1,000 kepada klinik swasta dan pengamal perubatan bagi memalsukan status penerimaan vaksin mereka.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. Steven Chow, terdapat laporan daripada para ahlinya bahawa mereka menerima tawaran sedemikian.

“Tidak semua yang membuat tawaran itu merupakan golongan anti-vaksin. Ada antara mereka merupakan individu yang terpaksa melakukan perjalanan (jarak jauh) dengan segera.

“(Bagaimanapun), jika dibandingkan antara kos mendapatkan vaksin di klinik swasta, iaitu RM350 dengan tawaran RM1,000 bagi mendapatkan sijil palsu adalah amat meragukan. Pihak berkuasa perlu menyiasat perkara ini dan bertindak awal,” katanya kepada The Star.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd., Dr. Anas Alam, terdapat juga laporan bahawa golongan anti-vaksin hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) namun enggan menerima sebarang suntikan.

“Mereka hanya mahu direkodkan sebagai penerima.

“PPV adalah lokasi di mana individu menerima suntikan vaksin, bukannya lokasi pemalsuan dokumen.

“Perlakuan sebegitu tidak akan dilayan,” katanya lagi.

Individu yang telah lengkap dua dos vaksin akan menerima sijil digital yang membolehkannya menerima pelbagai kelebihan dan kemudahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here