Hakim berang Najib ke Istana Negara tak maklumkan mahkamah

0
530
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak berang dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu gagal menghadiri prosiding perbicaraan pada pagi ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata Najib seharusnya menghadirkan diri ke mahkamah terlebih dahulu.

“Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana, namun laporan media menyatakan ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di Istana Negara kerana kes ini akan diteruskan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Berikutan itu, Sequerah menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

Terdahulu, sebaik perbicaraan kes bermula pada jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Rahmat berkata, Najib bersama 114 Ahli Parlimen dipanggil ke Istana untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju ke istana pada jam 10.30 pagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here