Idris Jusoh sokong kerajaan PN

0
473
Datuk Seri Idris Jusoh

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memilih untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Idris yang juga merupakan Pengerusi Felda berkata, keputusan berkenaan diambil demi kebaikan rakyat yang kini terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menurut Idris, Muhyiddin banyak membantu warga Felda, termasuk kerajaan meluluskan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion dan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 bilion.

“Ketika rakyat sengsara dengan isu Covid-19, sebolehnya kita jangan sangat berpolitik. Kita wajib menumpukan masa untuk membantu rakyat, mempertingkat vaksinasi dan memulihkan ekonomi.

“Jangan kita menafikan Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu bawah Pakatan Harapan (PH), UMNO adalah pembangkang. Sekarang, kita berada bersama-sama dalam kerajaan.

“Pemimpin UMNO sudah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik menteri kanan dalam kerajaan.

“Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Dewan Rakyat.

Beliau sekali gus mempersoalkan hala tuju parti yang hendak dibawa Presiden UMNO selepas penarikan balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin, ketika kesihatan rakyat masih masih terancam dengan penularan wabak.

“Kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpendapat masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama kerajaan sekarang bawah kepimpinan Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum tetapi bagi mengelakkan mudarat lebih besar, ia adalah pilihan lebih baik.

“Saya menyeru agar kita dapat meningkatkan solidariti dalam kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO dulu, kini dan selamanya.

“Insya-Allah, semoga kita akan diberikan petunjuk dan diberkati Allah SWT. Insya-Allah, kita akan berjaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here