
TOKYO – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sedang menunggu laporan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Belarusia mengenai insiden yang menimpa pelari pecut, Krystina Tsimanouskaya.
Atlet itu dilaporkan berlindung di kedutaan Poland di bandar raya ini sejak semalam, sehari selepas enggan mematuhi arahan pasukannya untuk kembali ke negaranya.
Difahamkan, Tsimanouskaya telah diberikan visa kemanusiaan oleh Poland.
Jurucakap IOC, Mark Adams berkata, pihaknya telah berhubung dengan atlet itu dan berkata dia berada dalam keadaan selamat.
“Kami telah meminta laporan daripada pihak Belarusia berkenaan insiden ini, hari ini,” kata Adams kepada Reuters.
Beliau berkata, IOC telah melancarkan siasatan rasmi, namjun masih perlu mengumpulkan fakta daripada semua pihak yang terlibat sebelum membuat sebarang keputusan.
Tsimanouskaya, 24, sepatutnya mengambil bahagian dalam acara saringan pecut 200 meter (m) semalam, namun dia diarahkan pulang ke negaranya pada Ahad setelah dituduh mengkritik pegawai pasukannya.