Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri ke-9, angkat sumpah esok

0
73
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sah dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan sebentar tadi.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata pelantikan beliau diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.

Beliau berkata, baginda berkenan untuk membuat pelantikan itu selepas Naib Presiden UMNO itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen menerusi surat akuan bersumpah (SD) yang dihantar.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan,” katanya dalam satu kenyataam hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok jam 2.30 petang, di lstana Negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik Covid-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, baginda turut mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here