Ismail Sabri junjung kasih atas pelantikan sebagai Perdana Menteri

0
91
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri turut mengucapkan kasih juga kepada kesemua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan dan kepercayaan kepada dirinya.

“Syukur kehadrat Ilahi.

“Patik menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, atas pelantikan patik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Terima kasih juga kepada kesemua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan dan kepercayaan. Insya-Allah saya akan menjalankan tugas ini untuk Malaysia,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Pada hari ini, Ahli Parlimen Bera itu selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada pukul 2.30 petang tadi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Pelantikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendapat sokongan majoriti 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akuan (SD) yang dihantar kepada Seri Paduka Baginda dan jumlah itu mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here