Ismail Sabri ucap terima kasih kepada semua

0
69
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan selepas selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin parti politik yang memberi sokongan kepadanya.

Ismail Sabri turut mengucapkan kesyukuran atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang melantiknya sebagai Perdana Menteri.

“Saya bersyukur kepada Allah dan atas izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri.

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan Ahli Parlimen termasuk Bebas dan ketua parti politik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar pekarangan kediamannya selepas selesai menghadiri istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu atas kepercayaan diberikan kepadanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi susulan pelantikan sebagai Perdana Menteri khusus bagi semua lapisan rakyat di negara ini, esok. 

Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada jam 2.30 petang tadi.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen pada 16 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here