JAIS uruskan 776 jenazah pesakit Covid-19 secara percuma

0
16

Urusan pengkebumian jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menguruskan sebanyak 776 jenazah pesakit Covid-19 setakat 10 Ogos lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 776 jenazah pesakit Covid-19 yang diuruskan itu ialah dari beberapa hospital di Selangor.

Katanya, ia membabitkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebanyak 357 jenazah, Hospital Ampang (142), Hospital Serdang (73) dan Hospital Kajang (71) dan Hospital Banting (44).

“Hospital Shah Alam (13), Hospital Tanjung Karang (8), hospital di Sabak Bernam (37), hospital di Hulu Selangor (11) serta hospital swasta dan lain-lain (20).

“JAIS memberi khidmat pengurusan jenazah Covid-19 secara percuma melainkan kos melibatkan tanah perkuburan sahaja perlu dibayar oleh waris mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya di bawah seliaan PBT, kos yang perlu dibayar antara RM120 hingga RM300 manakala kos kubur kariah pula tidak melebihi RM500,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berhubung pengurusan jenazah Covid-19 pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Amirudin seramai 189 sukarelawan yang dianggotai lapan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) dan beberapa individu serta orang perseorangan yang bekerjasama dengan Jais untuk pengendalian jenazah Covid-19.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) yang ingin membantu JAIS dalam pengurusan jenazah Covid-19 di hospital di Selangor perlu mengikut beberapa syarat yang ditetapkan jabatan itu.

“Antaranya, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan Permerbadanan Pemegang Amanah jika berentiti sebagai sebuah Yayasan dan tujuan penubuhan NGOi itu mempunyai kaitan dengan peningkatan syiar Islam, pembangunan sosial dan kebajikan ummah.

“Tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan atau sebarang laporan yang dikaitkan dengan suatu tindakan yang tidak baik selepas didaftarkan; mempunyai reputasi dan jalinan hubungan yang baik dengan agensi-agensi berkepentingan.

“Perkhidmatan yang diberikan adalah berasaskan tugas-tugas kesukarelawanan dan tiada sebarang bayaran dikenakan oleh JAIS; sebarang caj yang akan dikenakan oleh pihak NGOi yang berkaitan dengan pengurusan jenazah hendaklah mengikut kadar munasabah yang ditetapkan oleh hospital dan semua petugas hendaklah terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here