JAWI sedia tanah 10 ekar untuk tanah pengebumian

0
33
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa meninjau TPIRS Taman Selaseh, semalam.

CYBERJAYA – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memperuntukkan tambahan sebidang tanah seluas 10 ekar untuk pembangunan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) bagi menampung keperluan sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam hantaran di Facebooknya berkata, tanah perkuburan baharu di Bukit Jalil itu merupakan TPIRS ke empat dengan kapasiti 1,000 slot kubur.

“JAWI akan membangunkan tanah perkuburan Islam baharu di Bukit Jalil selaus 10 ekar bagi menambah tanah perkuburan sedia ada di samping melihat tanah-tanah lain yang diwakaf atau dikhaskan bagi tujuan tanah perkuburan,” katanya semasa meninjau TPIRS Taman Selaseh bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), semalam.

Untuk rekod, TPIRS yang disediakan JAWI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini mempunyai kapasiti kira-kira 18,000 slot iaitu 4,000 di TPRIS Bukit Kiara, TPIRS Taman Selaseh (8,000), TPIRS Kepong (5,000) dan TPIRS Bukit Jalil (1,000).

Zulkifli berkata, selain tanah perkuburan kategori itu, tanah-tanah perkuburan di bawah kariah masjid-masjid di Wilayah Persekutuan KL kini direkodkan berjumlah 21 buah dan masih boleh menampung keperluan pengebumian jenazah buat masa ini.

“Jumlah baki tanah perkuburan di bawah kariah adalah sekitar 6,000 slot,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan telah membuat ketetapan bahwa jenazah yang meninggal kerana Covid-19 di Kuala Lumpur hanya akan dikebumikan di TPIRS Taman Selaseh dan TPIRS Bukit Kiara.

Manakala di Putrajaya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya yang kini mempunyai lebih 3,000 slot.

Katanya, kebenaran bagi pengebumian di tanah perkuburan kariah masjid bergantung kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kelulusan insentif bulanan sebanyak RM300 kepada 204 petugas PPJC selama 6 bulan bermula Julai lalu.

Pembayaran itu katanya adalah sebagai menghargai jasa penggali kubur dan Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PPJC) di Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada kakitangan JAKIM, JAWI dan KAGAT serta para sukarelawan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here