
RIYADH – Selepas lebih setahun sekatan jemaah umrah dari luar negara, kerajaan Arab Saudi mengumumkan akan menerima kemasukan jemaah dari luar negara itu bermula 9 Ogos ini.
Penerimaan jemaah secara berperingkat-peringkat itu bagaimanapun menetapkan syarat suntikan vaksin yang diiktrif oleh Arab Saudi.
Memetik laporan berita SPA, pembukaan semula tanah suci itu bakal menyaksikan kemasukan kira-kira 2 juta jemaah berbanding 60,000 jemaah sebelum ini.
Sebagai langkah pencegahan wabak, jemaah dari dalam dan luar negara perlu menyertakan sijil vaksinasi Covid-19 yang dibenarkan bersama permohonan ibadah umrah mereka.
Bagaimanapun jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, jemaah dari negara-negara yang tersenarai dalam daftar larangan memasuki Arab Saudi akan dikenakan kuarantin selepas ketibaan.
Sejak penularan Covid-19 tahun lalu, Arab Saudi mengamalkan langkah pencegahan yang ketat dengan hanya membenarkan jemaah dari dalam negara itu sahaja untuk menunaikan ibadat umrah.