Jumlah bungkusan menurun, kontrak ejen Pos Rider di Lembah Klang ditamatkan

0
2325

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pos Malaysia akan menjalankan Fasa Kedua rasionalisasi program khidmat luaran Pos Rider dengan membabitkan 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang.

Menurut Pos Malaysia dalam satu kenyataan, proses rasionalisasi di bawah Fasa Kedua demikian akan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Pos Malaysia berkata, program Pos Rider diperkenalkan pada 2019 dan berjaya membantunya menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.

Namun, tegasnya, pasaran pos dan kurier domestik telah melalui perubahan di mana jumlah mel terus menurun dengan begitu ketara, manakala peserta e-dagang pula mula menawarkan khidmat penghantaran.

“Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat.

“Bagaimanapun, bagi menghargai perkhidmatan bekas pekerja Pos Rider, kami akan memberi keutamaan kepada ejen-ejen ini untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.

“Ini boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila bekas Pos Rider dapat menjana pendapatan tambahan, manakala Pos Malaysia dapat mengekalkan kecekapan kos,” katanya hari ini.

Tambahnya, peningkatan permintaan sepanjang tahun biasanya berlaku semasa jualan sempena perayaan dan jualan tarikh khas anjuran pelbagai peniaga.

Katanya, Pos Malaysia juga akan terus meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber apabila perlu bagi memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan.

Katanya, ini adalah penting kerana sepanjang pandemik berlaku ia memberi kesan kepada pergerakan yang terhad dan operasi terbatas dihadapi oleh semua segmen perniagaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here