Kajian harga kit ujian kendiri Covid-19 selesai akhir Ogos

0
12
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kajian bagi menentukan harga patut runcit dan pelaksanaan kawalan harga kit ujian kendiri Covid-19 untuk dapat dilaksanakan dijangka selesai akhir bulan ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, kajian berkenaan melibatkan beberapa proses dan pengumpulan maklumat yang tepat di peringkat pengeluar, penjual dan pemborong.

Beliau berkata, penetapan harga yang tepat penting bagi menjamin kepentingan pengguna, namun pada masa sama ia perlu mengambil kira hak pengeluar, penjual dan pemborong agar tidak memberi kesan kepada bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran tempatan.

“KPDNHEP memang ada menerima aduan dan rungutan daripada orang ramai berkaitan harga alat tersebut tetapi pada masa ini, kit ujian kendiri Covid-19 tidak tertakluk di bawah kawalan harga sebaliknya ia berdasarkan harga disarankan secara umum oleh pihak berkuasa perubatan.

Namun kita sedang melengkapkan pengumpulan semua maklumat diperlukan bagi menentukan harga kit tersebut sebelum dibawa kepada kerajaan untuk nasihat dan keputusan sama ada kawalan harga akan ditetapkan atau ada harga boleh ditetapkan,” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Hasnol Zam Zam berkata, lebih 10 syarikat di negara ini yang diberi kebenaran untuk menjual dan mengedar kit ujian kendiri Covid-19 dan kebanyakan alat berkenaan diimport dan dihantar menggunakan pengangkutan udara sekali gus menyebabkan kosnya meningkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here