Kawasan kediaman Ismail Sabri mula jadi tumpuan

0
1822
Petugas media berkampung di kawasan kediaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengikuti perkembangan semasa politik negara.

PETALING JAYA – Kawasan kediaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mula menjadi tumpuan dan petugas media juga dilihat berkampung di situ sejak awal pagi tadi.

Susulan itu, kawalan keselamatan di kediaman Perdana Menteri kesembilan itu dipertingkatkan oleh pihak polis bagi mengawal aliran trafik dan juga kawasan sekitarnya.

Petugas media berkampung di rumah Naib Presiden UMNO itu bagi mengikuti perkembangan semasa sebelum majlis angkat sumpah Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri hari ini akan menghadiri istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadual berlangsung di Istana Negara pada pukul 2.30 petang.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Pelantikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kesembilan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendapat sokongan majoriti 114 ahli Dewan Rakyat berdasarkan surat akuan (SD) yang dihantar kepada Seri Paduka Baginda dan jumlah itu mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here