Kematian pengawal keselamatan diklasifikasikan sebagai kes bunuh – Polis

0
1905
Tangkap layar mangsa diserang oleh seorang lelaki sehingga mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia

IPOH – Kes kematian seorang pengawal keselamatan yang dibelasah ketika sedang bertugas di kolam renang di sebuah kondominium di sini pada Disember tahun lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya hari ini dengan mencadangkan pertuduhan lebih tinggi dikenakan kepada suspek.

“Polis mengklasifikasikan semula kes ini pada hari mangsa meninggal dunia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

“Kes ini masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Sabtu lalu, Mior Faridalathrash berkata, susulan insiden pada 29 Disember itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari lalu kerana mendatangkan kecederaan parah dan kes akan disebut semula pada 9 September ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya pada Jumaat lalu dan hasil bedah siasat pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here