Kementerian Pelancongan nafi tetapkan harga pakej umrah antara RM8,000-RM9,000

0
31

Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan menetapkan harga lantai baharu untuk pakej umrah antara RM8,000 sehingga RM9,000 kepada jemaah dari negara ini.

Kementerian itu berkata, kenyataan oleh Pengerusi Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFFTA), Dr Fathir Badri adalah tidak benar dan boleh mengelirukan orang ramai.

“Kementerian menafikan sebarang bentuk pengumuman berkaitan harga indikator baharu pakej umrah atau ziarah seperti yang dinyatakan.

“Untuk makluman, harga indikator yang pernah ditetapkan pada 2016 seperti yang dipersetujui oleh anggota Majlis Kawal Selia Umrah ketika itu adalah pada kadar RM4,900,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MOTAC berkata, ketika ini pihaknya sedang mengkaji faktor kenaikan kos khususnya susulan langkah kawalan pandemik Covid-19 dikenakan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

Katanya, sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian berikutan pihaknya turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pihak industri dan orang awam.

“MOTAC menyeru semua pihak menghentikan cubaan memanipulasi pasaran khususnya membabitkan harga perkhidmatan pakej umrah atau ziarah.

“Orang ramai juga dinasihati berwaspada dengan tawaran pakej umrah yang meragukan pada masa ini dan menyemak kesahihan perkara ini dengan kementerian,” katanya.

Sementara itu, MOTAC berkata, selaras dengan ketetapan dan usaha kerajaan dalam menggerakkan semula ekonomi, kementerian memberi kebenaran kepada semua syarikat pengendali umrah berlesen untuk memulakan aktiviti mempromosi dengan memohon kelulusan iklan pakej umrah atau ziarah di bawah fasa interim.

Katanya, kelonggaran itu diberi sebagai persediaan awal ke arah pembukaan sempadan oleh pihak kerajaan yang disasarkan pada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ia sekali gus membolehkan penggiat industri menilai serta bersedia dengan bilangan jemaah umrah yang berminat mengerjakan ibadah umrah pada masa terdekat,” katanya.

Mekah semasa covid
Kaabah

Katanya, proses permohonan boleh dibuat menerusi emel [email protected] namun ia berdasarkan syarat dan paramater yang ditetapkan oleh kementerian.

“Parameter yang ditetapkan kementerian bagi kelulusan fasa interim termasuk membenarkan aktiviti promosi tanpa bayaran dan tidak mengikat mana-mana pihak sehingga kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan ke luar negara serta proses perjalanan pelaksanaan ibadah umrah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia.

“Ini kerana kementerian berpandangan bahawa kutipan apa juga bentuk bayaran untuk perkhidmatan pakej umrah atau ziarah pada masa ini adalah tidak wajar kerana wujud ketidaktentuan penyampaian khususnya tempoh perjalanan dan perkhidmatan sebenar yang akan diterima oleh jemaah.

“Berikutan dasar semasa kerajaan berkaitan pelaksanaan ibadah umrah, semua perkara berkaitan pakej diiklankan juga perlu disahkan oleh pihak kementerian sebelum iklan dan transaksi perniagaan dijalankan,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menyemak iklan pakej umrah yang diluluskan oleh MOTAC di laman web rasmi www.motac.gov.my.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here