Kenakan kompaun kepada Ahli Parlimen pembangkang yang sertai perhimpunan dan perarakan

0
46
Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka semalam selepas dihalang memasuki bangunan Parlimen

KUALA TERENGGANU – Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menyertai perhimpunan dan perarakan di Dataran Merdeka semalam perlu dikenakan kompaun.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, ini kerana mereka twlah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, tindakan itu wajar diambil pihak berkuasa ekoran perbuatan golongan berkenaan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan termasuk menjaga penjarakan fizikal.

“Bagi saya mereka yang bersalah melanggar SOP itu perlu didenda kerana sebelum ini jika perkara sama berlaku kepada pemimpin kerajaan, mereka menuduh kita sebagai golongan kayangan.

“Jadi saya berharap tiada unsur perbezaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan negara,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhimpun di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke bangunan Parlimen.

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, pembangkang kini makin terdesak kerana mereka tergugat dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menampakkan kejayaan.

“Secara umumnya mereka bimbang jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya menangani Covid-10 sekali gus mencapai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok sebagaimana ditetapkan.

“Sebab itulah mereka cuba mencetuskan provokasi dengan menuduh kerajaan gagal dan bagi saya ini merupakan budaya yang tidak sihat kerana hak seseorang untuk menyuarakan pendapat ada batasnya walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi,”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here