
CYBERJAYA- Kenapa September dan bukannya Ogos? itu persoalan yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Persoalan itu berhubung usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dilakukan pada September ini di Parlimen.
“Tapi dia (Muhyddin) berjanji pada Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi parlimen bulan September. Dia kata Agong minta dia buktikan ada sokongan majoriti.
“Dia kata Agong titah hanya 8 orang ahli parlimen UMNO yang tarik sokongan terhadap dia. Ingat, dia kata 8 sahaja.
“Dia kata dia percaya bahawa dia masih ada sokongan majoriti, tetapi dia berjanji pada Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi parlimen bulan September.
“Kenapa pula bukan sekarang memandangkan kita baru masuk bulan Ogos,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Najib turut meninggalkan persoalan sama ada sebab Parlimen masih diserang Covid-19 menjadi punca usul undi percaya itu akan dilakukan pada September.
“Sebab Covid-19 masih serang parlimen ke? Tapi saya tengok mereka yang kononnya terdedah pada Covid dalam parlimen sudah bebas ke sini dan ke sana, siap meeting tiap-tiap malam di rumah.
“Akhirnya dia salahkan dan menipu bahawa mereka yang tarik sokongan terhadap dia adalah mereka yang mahu kes digugurkan sedangkan cara terbaik untuk gugurkan ialah dengan membodek dan bukan melawan dia,” katanya.