Kepala air Gunung Jerai ragut 3 nyawa, 4 masih hilang

0
57

Salah sebuah kenderaan yang rosak akibat dilanda banjir kilat yang berlaku akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

ALOR SETAR – Tiga individu disahkan maut manakala empat lagi masih hilang selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, semalam.

Kesemua mangsa yang terkorban ditemui di tiga lokasi berbeza manakala empat lagi individu yang hilang dipercayai berada di kawasan Titi Hayun dan Salak Denai semasa kejadian.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan awal pagi ini.

Salah seorang daripada mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Shahruzi Mohamad, 53.

“Mayat mangsa telah diturunkan dan operasi mencari mangsa yang hilang disambung pada pagi Khamis,” katanya awal tadi.

Muhammad Sanusi Md Nor

Berikutan kejadian itu, Muhammad Sanusi mengumumkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai kawasan bencana tahap satu selepas mengambil nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menggerakkan semua agensi dan jabatan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat bencana itu yang berlaku sekitar 5.30 petang semalam.

“Semua agensi kerajaan dan badan berkanun berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan,” katanya

Sementara itu, seramai 14 individu positif Covid-19 ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi, Yan selepas kediaman mereka dinaiki air.

Selain itu katanya, sebanyak 45 individu yang menjalani kuarantin di rumah turut dipindahkan ke PPS tersebut disebabkan bencana sama.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan telah membuka pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan yang menempatkan 60 mangsa.

“Mangsa yang positif (14) dan kuarantin (45) akibat Covid-19 ditempatkan di SK Teroi. Kedua-dua penempatan dipantau rapi oleh semua agensi berdasarkan prosedur operasi standard yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejak semalam pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat di semua lokasi yang dilaporkan terdapat mangsa yang terperangkap atau hilang dan setakat ini tiga mangsa dijumpai meninggal dunia.

Katanya, kerajaan negeri merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan yang masih hilang.

Keadaan sungai yang melimpah sehingga merosak rumah dan chalet di kaki Gunung Jerai, semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here