Kerajaan peruntuk RM10.2 juta untuk 3 hospital Pahang

0
22
Gambar hiasan

KUANTAN – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10.2 juta untuk perolehan peralatan perubatan bagi menangani Covid-19 di negeri itu.

Daripada jumlah itu, RM4.8 juta diagihkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh (RM3.8 juta) dan Hospital Lipis (RM1.6 juta).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, ia berikutan berlaku peningkatan kes kritikal Covid-19 yang memerlukan perkhidmatan rawatan ditingkatkan di unit rawatan rapi (ICU) tiga hospital berpakar tersebut.

Menurutnya, daripada 11 hospital di negeri ini hanya empat hospital berpakar sahaja yang mempunyai ICU.

“Keseluruhan katil ICU di hospital di negeri ini berjumlah 107 katil dan 61 daripadanya dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

“Berdasarkan pecahan, HTAA mempunyai 61 katil ICU dan 37 dikhaskan untuk rawatan Covid-19, HoSHAS ( 36 katil, 20 untuk Covid-19), Hospital Lipis (enam katil, empat untuk Covid-19) dan Hospital Pekan (empat katil),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Kali Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Norol Azali berkata, terdapat 80 katil rawatan Covid-19 di lima hospital swasta di negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here