‘Kerajaan PN sudah runtuh’ – Azalina

0
725
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azalina Othman Said

CYBERJAYA – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azalina Othman Said mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah runtuh berdasarkan peruntukan Perlembagaan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, ini kerana peruntukan Perlembagaan menetapkan hanya blok yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen sahaja berhak membentuk kerajaan.

Beliau memberitahu, kuasa itu jelas diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Malaysia.

“Bolehkah Perdana Menteri menghadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mewujudkan kerajaan minoriti? Jawapan pendeknya, tidak,” catat Azalina.

“Jika terdapat blok majoriti baharu, mereka perlu dibenarkan mempersembahkan bilangan Ahli Parlimen yang menyokong kepada Yang Di-Pertuan Agong, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

“Dalam kata lain, cadangan (membentuk kerajaan baharu) perlu datang dari kalangan Ahli Parlimen (majoriti) kepada YDPA, dan bukannya terbalik,” kata Azalina lagi.

Beliau berkata demikian berikutan timbul desas desus bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin menangguhkan undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen nanti bagi mengumpulkan sokongan daripada blok pembangkang.

Difahamkan, tindakan ini adalah bagi membentuk kerajaan minoriti bagi menggantikan perikatan PN-BN yang mebentuk kerajaan kini.

“(Namun) Saya percaya bahawa desas desus ini sengaja diwujudkan bagi menyemai rasa syak wasangka dalam kalangan parti politik negara,” kata Azalina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here