
CYBERJAYA – Sebanyak 17,105 kes baharu Covid-19 telah dilaporkan dalam temppoh 24 jam yang lalu menjadikan kumulatif jangkitan wabak itu berjumlah 1.163 juta setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lima negeri yang sama masih merekodkan penularan tertinggi iaitu Selangor sebanyak 5,836 kes, Kuala Lumpur (2,309), Johor (1,275), Kedah (1,036) dan Sabah (1,010).
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan kes menurun di Selangor berbanding hari sebelumnya iaitu 6,067 kes.
“Trend peningkatan pula dapat dilihat di beberapa negeri lain termasuk Kuala Lumpur, Perak dan Kelantan yang hampir merekodkan kadar empat angka hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak 967 kes telah dikesan di Perak manakala 915 jangkitan dilaporkan di Kelantan hari ini.
Selain itu, Pulau Pinang turut menyaksikan lonjakan kes baharu mencecah 798 jangkitan berbanding 667 semalam.
Perkara sama juga dapat dilihat di Pahang dan Melaka yang masing-masing mencatatkan 628 serta 508 kes baharu.
Sarawak pula naik sedikit kepada 494 berbanding 411 semalam sementara Terengganu juga meningkat kepada 429 kes baharu hari ini.
Sementara itu, penurunan kes dapat dilihat di Negeri Sembilan tetapi masih berlegar pada paras melebihi 800 setelah mencatatkan 816 kes baharu.
Putrajaya terus merekodkan kadar dua angka jangkitan baharu iaitu sebanyak 72 jangkitan.
Hanya Perlis dan Labuan mencatatkan jumlah satu angka kes baharu masing-masing sebanyak tujuh dan lima kes baharu.