Kes Covid-19 meningkat, Brunei laksanakan semula kawalan pergerakan

0
230
Keadaan jalan yang lenggang di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN – Brunei melaksanakan semula kawalan pergerakan serta merta sehingga 21 Ogos ini berikutan peningkatan kes jangkitan baharu dan pengesanan kes tempatan pertamanya dalam tempoh 15 bulan.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan semula sekatan pergerakan yang ketat termasuk larangan ke atas banyak perhimpunan awam manakala sekolah, masjid dan perniagaan tidak penting juga ditutup.

Memetik laporan CNA, Kementerian Kesihatan sedang mencuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada orang ramai, berikutan peningkatan jumlah kes dan kontak yang begitu ramai.

Menteri Kesihatan, Dr Awang Md Isham Jaafar berkata, kawalan pergerakan termasuk tidak membenarkan sebarang perkumpulan ramai.

Katanya, pengecualian bagaimanapun dibenarkan bagi perkumpulan seramai 15 orang untuk pengurusan jenazah (bukan Covid-19), majlis akad nikah (maksimum lima orang) dan hanya dua ahli keluarga dibenarkan untuk melawat orang tua mereka yang tinggal berasingan.

Sementara itu, aktiviti riadah, seperti jogging dan mendaki adalah dibenarkan secara individu manakala riadah berkumpulan adalah dibenarkan bagi dua orang yang tinggal serumah.

Mengenai bekerja dari rumah, katanya, semua pegawai dan kakitangan, sama ada kerajaan atau swasta dikehendaki melakukan perkara itu.

“Hanya petugas-petugas yang diperlukan dibenarkan keluar ke tempat kerja, merangkumi petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan, sektor keselamatan, perhotelan, pengangkutan, keperluan harian (makanan, perniagaan runcit), sektor kemudahan dan utiliti (elektrik, air, telekomunikasi), petugas di sempadan dan pintu-pintu masuk negara, sektor minyak dan gas dan hiliran, sektor pembinaan, sektor agromakanan dan perhutanan,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta rakyat negara itu supaya tidak keluar rumah tanpa tujuan penting.

“Hanya dua orang dari satu keluarga dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian,” katanya.

Semalam, Brunei mencatatkan 42 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini 406 orang.

Empat kes baharu tersebut ada kaitan dengan Kluster Total, yang dilaporkan kelmarin manakala 29 lagi kes baharu ada kaitan dengan kes ke-363.

Lima lagi kes baharu tersebut juga ada kaitan dengan kes ke-364, yang dilaporkan kelmarin, di mana kluster itu dikenali sebagai Kluster ABCi, sementara empat lagi kes baharu adalah kes import, merupakan sebuah keluarga yang tiba dari Afrika, melalui Kuala Lumpur, pada 30 Julai lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here