Ketua Pembangkang pilihan pertama untuk buktikan ada majoriti setelah PM letak jawatan – Prof Agus

0
817
Prof Datuk Mohammad Agus Yusoff

CYBERJAYA – Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat akan menjadi pilihan pertama oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan mempunyai sokongan majoriti setelah Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Menurut Pensyarah di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Mohammad Agus Yusoff, setelah Perdana Menteri meletakkan jawatan, soal pemilihan Perdana Menteri yang baharu adalah kuasa budi bicara Agong.

Katanya, baginda akan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli dewan

“Bagaimana Agong hendak lantik Perdana Menteri baharu kerana parti pembangkang tidak sepakat dengan calon Perdana Menteri?

“Siapa Agong akan pilih? Mengikut konvensyen, Agong akan meminta ketua pembangkang terlebih dahulu untuk membuktikan beliau mempunyai majoriti.

“Sekiranya tidak ada, Agong akan meneruskan pertimbangan baginda untuk memilih sesiapa yang pada pandangan baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri yang telah hilang majoriti, beliau hendaklah meletakkan jawatan atau memohon pembubaran parlimen.

Katanya, meletak jawatan adalah pilhan Perdana Menteri manakala yang bersetuju dengan permintaan pembubaran Parlimen adalah kuasa budi bicara Agong (Perkara 40(2)(b)).

Dalam pada itu, mengulas mengapa jawatan Perdana Menteri tidak boleh diserahkan kepada timbalannya seperti yang dibuat oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, katanya, ia kerana timbalan perdana menteri sekarang juga tidak diyakini mempunyai sokongan majoriti.

“Bolehkah Perdana Menteri pindahkan jawatan kepada timbalannya? Tidak boleh, semua proses kena bermula semula sehinggalah Agong berpuas hati calon yang dipilihnya mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.

“Kenapa pada tahun 2003 Tun Mahathir boleh serahkan jawatan Perdana Menteri pada Timbalannya dan pada tahun 2009 Tun Abdullah boleh serahkan jawatan pada Timbalannya?

“Ini bukan soal serah, tetapi pada waktu itu Agong yakin calon yang dipilihnya mempunyai majoriti ahli Dewan,” ujarnya.

Menurut Mohammad Agus lagi, setelah seorang Perdana Menteri dilantik oleh Agong, beliau perlu mendapatkan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

“Dalam sejarah kita, Perdana Menteri yang tidak membentangkan undi percaya di Dewan setelah dilantik ialah Perdana Menteri sekarang.

“Semoganya sesiapapun yang baginda Agong pilih, kita mendapat Perdana Menteri yang terbaik untuk mengurus negara ini.

“Tanggungjawab beliau berat dan kita akan terus memainkan peranan untuk menegur dan mengkritik kepemimpinan baharu. Menegur dan mengkritik bukanlah bermaka kita menyokong kerajaan atau pembangkang, tetapi tanggungjawab kita bersama untuk menjaga negara kita,” tegasnya.

Sebagai rekod, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sekarang ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Timbalan Perdana Menteri ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here