Khabib kritik fungsi gadis gelanggang

0
992

MOSCOW – Lagenda Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) (MMA), Khabib Nurmagomedov semalam mengkritik dan mendesak penganjur memansuhkan penampilan gadis gelanggang atau Oktagon Girl dalam sukan itu.

Bekas juara kategori Lightweight itu dalam satu sidang media menyifatkan gadis oktagon tidak menyumbang apa-apa kepada sukan seni mempertahankan diri.

“Saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah peranan yang dimainkan oleh seorang gadis gelanggang?

“Saya bukan mahu membuat keputusan mengenainya tapi saya rasa mereka adalah individu yang paling tiada fungsi dalam sukan ini.

“Adakah mereka memberi apa-apa sumbangan kepada sukan ini atau sekadar menunjukkan pusingan perlawanan,” katanya.

Sebaliknya kata Nurmagomedov, penganjur sukan itu boleh menggantikan tugas seorang gadis Oktagon dengan penggunaan skrin elektronik yang pastinya lebih efisien.

Jaguh kelahiran Dagestan itu berkata, dia akan membawa isu tersebut kepada Dana White selaku Presiden UFC untuk mendapatkan pandangan mengenai perkara itu.

“Perkara ini akan dikemukakan kepada Dana White, tapi dia mungkin menyukainya (gadis Oktagon), tapi saya bukan Dana White saya Khabib,” katanya yang kini mempromosikan kejohanan Eagle Fighting Championships berpangkalan di Rusia.

Mengulas lanjut, Nurmagomedov mengaku sedar peranan gadis gelanggang sebagai ‘elemen tambahan’ dalam pertandingan dan dikaitkan dengan sejarah sukan pertempuran.

“Saya sedar ia adalah sejarah yang telah diperkenalkan sejak dari dahulu tapi kita juga tahu ada banyak kesilapan dilakukan manusia pada masa lalu.

“Kita ambil sejarah sebagai pertimbangan supaya tidak melakukan kesilapan pada masa depan,” katanya yang mengaku sering berasa tidak selesa dengan kehadiran gadis Oktagon dalam setiap perlawanan.

Justeru, beliau mahu penganjur berhenti mencampur adukkan unsur eksploitasi wanita dalam sukan.

“Jika penonton datang bukan untuk menyaksikan mereka, kenapa mereka perlu berada di pentas,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here