Kibar Jalur Gemilang tanda solidariti

0
13

CYBERJAYA – Rakyat diseru supaya membangkitkan semangat patriotisme dan menterjemahkan solidariti dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai tanda bersatu padu dalam melawan pandemik Covid-19.

Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia sekali gus mencetuskan solidariti dalam mendepani apa jua cabaran mendatang.

“Saya berharap kita dapat bersama-sama menterjemahkan bentuk solidariti itu dengan mengibar megah Jalur Gemilang, sebagai tanda kita sentiasa bersatu padu dalam melawan pandemik Covid-19 ini.

“Saya juga yakin setelah 64 tahun negara menikmati kebebasan dan kemerdekaan, amalan mengibar Jalur Gemilang ini sentiasa dibudayakan dalam kehidupan seharian saudara dan saudari tanpa rasa malu dan janggal,” kata Muhyiddin ketika melancarkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, hari ini.

Beliau berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini masih mengekalkan tema sama seperti tahun lepas iaitu Malaysia Prihatin seiring dengan iltizam dan aspirasi berterusan Kerajaan Perikatan Nasional menyemai rasa cinta semua rakyat kepada negara.

Selain itu katanya, ia bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat ketika masih memerangi pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Walaupun negara masih berada dalam tempoh agak mencabar susulan wabak itu, namun beliau yakin seluruh rakyat mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi dan dapat mengambil iktibar dan aspirasi daripada kepentingan meraikan bulan bersejarah yang menyaksikan negara mencapai kemerdekaan.

“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat kita.

“Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara, yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar dan memberi inspirasi kepada kita semua.

“Kali ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Saya berdoa agar saudara dan saudari akan terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha kita untuk menamatkan wabak Covid-19 ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here