
HULU TERENGGANU – Kerajaan masih diperingkat perbincangan untuk menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 sebagai barangan kawalan dan dijual pada harga lebih rendah daripada harga pasaran sekarang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian sedang berbincang dengan pengilang, pengimport dan penjual kit ujian untuk memastikan harga alat itu tidak membebankan pengguna.
“Kami dapat maklumat setiap satu kit ujian ini dijual dengan harga RM39.90, saya rasa ia akan membebankan pengguna dan tidak ramai yang mampu beli.
“Jadi kami sedang bincang untuk dapatkan harga munasabah yang tidak rugikan peniaga dan tidak bebankan pengguna dengan harapan semua orang mampu beli. Kami dalam proses jadikan ia barang kawalan,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian kepada media selepas meninjau Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) Bas di Sekolah Kebangsaan LKTP Felda Bukit Bading, Ajil, di sini pada Selasa.
Felda Bukit Bading merupakan lokasi pertama Program Movak Bas di Hulu Terengganu dan seramai 360 penduduk kawasan itu menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Program itu yang bertujuan memberi kemudahan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman akan bergerak ke enam lokasi lain iaitu Bukit Tadok, Tapah, Tok Randok, Getang, Kua dan Binjai Kertas dengan sasaran 3,500 penduduk bakal divaksin.
Rosol turut memaklumkan, selain memastikan harga dijual mampu milik, KPDNHEP juga kini bersedia dengan kemungkinan wujudnya jualan kit ujian kendiri Covid-19 tiruan dalam pasaran.