
CYBERJAYA – Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Adham Baba bertukar portfolio di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini diberi tugas sebagai Menteri Kesihatan.
Sementara itu, Dr Adham pula mengambil alih tanggungjawab Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Khairy dan Dr Adham antara 31 barisan Menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri hari ini.

Selain itu, terdapat beberapa muka baharu yang dilantik sebagai Menteri seperti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Selain Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Perdana Menteri dalam pengumumannya hari ini berkata, barisan Kabinet yang baharu dilantik akan mengangkat sumpah di hadapa Yang di-Pertuan Agong pada Isnin ini di Istana Negara.