KJ masih setia pada UMNO, tapi hadapi isu kepercayaan terhadap Presiden UMNO

0
567

Khairy Jamaluddin

ISKANDAR PUTERI – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan akan terus kekal setia bersama UMNO walaupun mengambil pendirian untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pendiriannya bersama 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah jelas untuk kekal menyokong PN sehingga keabsahan kerajaan diputuskan di Parlimen, September nanti.

“Saya masih dengan UMNO. Saya setia dengan UMNO. Saya masih menteri UMNO. Selepas undi percaya selesai September nanti, baharulah kita buat keputusan apa seterusnya.

“Biarlah saya buat kerja saya membabitkan vaksinasi rakyat. Ini soal nyawa rakyat Malaysia. Selagi tiada undian untuk tentukan keabsahan kerajaan, biarlah saya buat kerja saya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Terdahulu beliau meninjau tapak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Studio Iskandar Malaysia di sini, hari ini.

Jumaat lalu, sebanyak 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, tiga ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Tanjung Karang, Ahli Parlimen Baling dan Ahli Parlimen Parit menafikan memberikan sokongan kepada PN.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata beliau juga mempunyai isu kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ia selepas beberapa tindakan yang dilakukan oleh Presiden UMNO itu sebelum ini telah membelakangkan ahli Parlimen UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi

“Saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO. Oktober lalu, beliau (Ahmad Zahid) utuskan satu surat pada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas nama Presiden UMNO yang menyatakan semua Ahli Parlimen beri sokongan pada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya oleh Presiden dan jauh sekali saya beri kebenaran pada beliau guna nama saya. Ini yang pertama babitkan masalah kepercayaan.

“Keduanya, apabila apabila timbul rakaman perbualan Presiden dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun perkara itu dinafikannya dan maklum nak buat laporan polis. Bagaimanapun, selepas itu beliau mengaku pula rakaman itu adalah tulen.

“Bagaimana saya nak percaya Presiden macam ini apatah lagi mengenai keputusan baru ini yang didakwa dicapai secara sebulat suara dalam Majlis Kerja Tertinggi, sedangkan ada Ahli Parlimen yang terdiri daripada Ahli Majlis Tertinggi yang membuat keputusan berbeza dengan MKT,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here