KKM jangka kes memuncak akhir bulan ini, mula turun pada Oktober

0
133
Dr Hishamshah Mohd Ibrahim

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian positif Covid-19 di negara ini memuncak pada penghujung bulan ini dan turun pada akhir Oktober.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, KKM meramalkan penurunan kes Covid-19 akan mengambil masa ekoran penularan varian Delta yang lebih dominan ketika ini.

Katanya, hasil penjujukan genom yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan Institusi Penyelidikan Perubatan (IMR) serta beberapa lagi agensi mendapati jangkitan di Lembah Klang ketika ini melibatkan varian Delta.

Justeru katanya, usaha melandaikan keluk kes berdepan dengan cabaran kerana kadar kebolehjangkitan varian itu yang lebih pantas.

Dr Hishamshah berkata, usaha melandaikan lekuk kes positif semestinya berbeza apabila melibatkan varian yang lebih berbahaya.

“Unjuran kenapa kes belum menurun, ini unjuran NIH, kita lihat sekarang masih meningkat kes harian kerana berdepan varian baharu.

“Jika tahun lalu daripada varian Sivagangga, kita akan ada peralihan varian dengan mutasi baharu. Varian dominan daripada penjujukan genom IMR dan makmal lain mendapati dominan adalah varian Delta, kadar kebolehjangkitan berbeza,” katanya pada Sidang Media Khas KKM hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, penurunan jumlah kes akan mengambil masa lebih panjang namun keutamaan KKM pada masa ini adalah untuk mengurangkan kemasukan jumlah pesakit serius di hospital dan jumlah yang maut akibat wabak itu.

Tambah beliau, hasil penjujukan genom yang dijalankan terhadap 1,668 sampel didapati sebanyak 409 daripadanya adalah jenis varian yang membimbangkan (VOC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here