KKM rekod kes kematian tertinggi semalam

0
73
Petugas kesihatan memberikan rawatan kepada pesakit covid-19. Foto KKM.

CYBERJAYA – Negara semalam mencatatkan kes kematian harian tertinggi akibat Covid-19 dengan 219 kes menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 9,403 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kes kematian itu melibatkan 201 warganegara manakala 18 lagi warga asing, dengan 198 daripadanya meninggal dunia di hospital dan 21 orang lagi di rumah (BID).

“Sebanyak 105 kes kematian berkenaan dilaporkan di Selangor, 41 kes di Kuala Lumpur, 24 di Johor, sembilan di Melaka, lapan di Pahang, tujuh di Negeri Sembilan, masing-masing enam kes di Kedah dan Perak, masing-masing empat kes Kelantan dan Terengganu, tiga di Sabah serta masing-masing satu di Labuan dan Perlis,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, daripada 15,764 kes baharu semalam, sebanyak 1.8 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya terdiri daripada kategori satu dan dua.

Kategori lima ialah kes kritikal dan menggunakan bantuan pernafasan, kategori empat (memerlukan bantuan oksigen), kategori tiga melibatkan radang paru-paru serta kategori dua dan satu masing-masing bergejala ringan dan tiada gejala.

Beliau berkata, dapatan itu berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baharu didiagnosis Covid-19.

“Ada antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, 3,525 kes atau 22.4 peratus daripada jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah imunisasi Covid-19 sekurang-kurangnya telah menerima satu dos,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih melebihi 1,000 kes apabila sebanyak 1,063 kes dilaporkan, dengan 532 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh dicatatkan dalam tempoh lebih 24 jam lepas pula adalah 11,767, menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 937,732 kes manakala kes aktif kini 199,051 kes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here