
CYBERJAYA – Sektor perkilangan masih menjadi penyumbang terbesar kluster Covid-19 di negeri Selangor, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daripada trend kluster yang dikesan di negeri Selangor, sektor perkilangan merupakan penyumbang utama kluster.
Sektor kedua tertinggi diikuti dengan sektor perkhidmatan, kluster tapak bina, perniagaan dan komuniti.
Sementara itu, kluster lain-lain pula menunjukkan bilangan yang amat sedikit.
Beliau berkata, setakat ini tidak ada kluster dikesan berkaitan dengan sambutan perayaan hari raya Aidiladha kerana kepatuhan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Dan kalau kita lihat trend yang berkenaan, kami juga cuba lihat adakah trend-trend penyakit ini kluster-kluster ini berkaitan dengan sambutan hari raya pada sebelum ini yang berada di negeri Selangor.
“Dan kita dapati tiada satu kluster pun yang berkaitan dengan sambutan hari raya. Ini bermakna rakyat yang berada dalam negeri Selangor amat akur dengan SOP yang dinyatakan dalam sambutan hari raya Aidiladha,” katanya pada sidang akhbar khas Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Sementara itu Dr Sha’ari berkata, antara punca berlakunya peningkatan saringan di Selangor adalah kerana terdapatnya kesedaran yang meluas di kalangan orang awam di Selangor untuk segera melakukan ujian terutamanya di fasiliti swasta.
“Terdapat 85 peratus ujian saringan harian yang dijalankan di Selangor adalah dilakukan di fasiliti swasta,” katanya.