Kuarantin di rumah pengembara luar undang musibah besar negara – Najib

0
129
Najib Razak

CYBERJAYA – Tindakan kerajaan membenarkan individu dari luar negara yang sudah divaksin menjalani kuarantin kendiri di rumah sebagai mengulangi kesilapan dilakukan kerajaan pada tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan kelonggaran itu sebagai satu kegilaan berkata, tindakan itu bakal mencetuskan penularan besar-besaran seperti kluster Sivagangga dan kemasukan varian mutasi D614G.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil kira risiko pembawa virus tidak bergejala yang berpotensi membawa masuk virus mutasi baharu Covid-19 ke dalam negara yang sekaligus akan menjejaskan Program Imunisasi Negara.

Bahkan beliau turut mempersoalkan golongan mana yang menerima manfaat daripada kelonggaran yang diberikan kerajaan sedangkan rakyat di negara ini telah berkurung sejak tahun lalu.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, ada memberi amaran bahawa Malaysia perlu memperketatkan kawalan sempadan antarabangsa bagi mengelak kemasukan varian Lambda Covid-19 yang dilaporkan lebih berbahaya dan mungkin ‘kebal’ terhadap vaksin yang sedia ada.

“Malaysia mencatat rekod kematian tertinggi Covid dengan 360 kes termasuk 85 orang meninggal dunia di luar hospital semalam sebab semakin ramai tidak sempat terima rawatan dari hospital yang penggunaan kapasitinya sudah tercecah.

“Sekarang kadar kematian Malaysia adalah paling tinggi dalam dunia – bukan sekadar kes paling tinggi lagi,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri semalam mengumumkan pengembara warga negara dan rakyat asing yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah dengan syarat sudah divaksin.

Sehubungan itu, Najib menyifatkan sekarang adalah masa terbaik untuk Muhyiddin meletakkan jawatan
kerana kegagalan menguruskan penularan Covid-19 di negara ini.

“Letak jawatan serta-merta supaya kegilaan berterusan dia tidak membawa lagi banyak kerosakan dan kehilangan nyawa kepada negara yang sudahpun paling corot dalam dunia dari segi Covid dan ekonomi.

“Serah kepada mereka yang laksanakan dasar SOP yang berpandu kepada data dan sains – bukan nafsu politik atau kegilaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here