Kumpulan penggerak awal Bersatu mahu Pak Wan diberikan jawatan TPM

0
801
Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof

CYBERJAYA – Nama pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk
Seri Mohd. Redzuan Yusof hari ini tular apabila terdapat satu kenyataan akhbar ‘tanpa nama’ mendesak beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut kumpulan yang mendakwa diri sebagai penggerak-penggerak awal Bersatu, Mohd. Redzuan yang turut dikenali sebagai Pak Wan layak diberikan jawatan itu kerana Ahli Parlimen Alor Gajah merupakan individu terawal  membina parti itu secara bersama atau digelar sebagai pengasas 12.

Dakwanya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu sangat memahami perjuangan sebenar parti terbabit.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dibantu oleh seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu yang benar-benar faham tentang hala tuju tersebut.

“Calon yang difikirkan paling layak adalah Mohd. Redzuan yang mana beliau sebelum ini adalah Menteri Tugas-tugas Khas.

“Beliau juga antara pimpinan Bersatu yang paling awal membina parti bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin atau digelar sebagai pengasas 12. Sudah tentu Mohd. Redzuan antara orang yang amat faham perjuangan parti,” dakwa kenyataan berkenaan hari ini.

Kini tumpuan teralih kepada kerusi nombor dua negara itu selepas calon untuk jawatan Perdana Menteri terarah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kumpulan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kumpulan Pakatan Harapan Plus.

Terdahulu, terdapat desas-desus mengatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin adalah individu yang disebut-sebut bakal dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Hamzah adalah Ahli Parlimen Larut yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum melompat kepada Bersatu.

Mohd. Redzuan yang kini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pernah bertanding jawatan Naib Presiden Bersatu namun tewas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here