Lebih 50 peratus penduduk dewasa di Malaysia sudah divaksin

0
16
Vaksin Sinovac diberikan kepada penerima vaksin COVID-19 sempena Program Vaksinasi Bergerak Wilayah Prihatin di PPR Perkasa, Jalan Cochrane. Foto / FaridJanudin

CYBERJAYA – Lebih 50 peratus penduduk di Malaysia telah selamat menerima vaksin Covid-19 sekali gus meletakkan negara dalam landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter, setakat semalam sebanyak 50.2 peratus atau 11,743,096 populasi dewasa negara ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, untuk dos pertama pula sebanyak 75.3 peratus atau 17,625,760 orang sudah menerimanya, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 29,368,856 dos.

“Hari ini, lebih 50 peratus daripada populasi dewasa negara sudah lengkap divaksinasi.

“Kita di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk PICK. Terima kasih dan tahniah kepada semua yang terbabit. Usaha gigih selama ini perlu diteruskan,” menurut hantaran itu.

Menurut JKJAV, 54 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 36 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan peningkatan kepada 531,114 dos semalam berbanding 525,111 dos pada Selasa, dengan 188,474 adalah dos pertama manakala 342,640 adalah dos kedua.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here