
BENTONG – Ratusan helai pakaian dalam wanita dipercayai dicuri oleh seorang lelaki warga asing di kediaman sewanya di Kampung Kemasur, di sini.
Penemuan ‘koleksi’ itu dibuat selepas polis menahan suspek berusia 36 tahun pada pukul 11.30 malam, kelmarin selepas pengesanan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk mengenai kelibat seorang lelaki yang mencurigakan di kawasan penduduk.
“Pengadu memaklumkan ada seorang lelaki tidak dikenali berlegar-legar di kawasan rumahnya pada jam 3 petang, semalam (kelmarin).
“Tidak lama kemudian, anak perempuannya memberitahu bahawa beberapa pakaian dalam miliknya hilang dari ampaian belakang rumah mereka,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zaiham berkata, bertindak kepada aduan dan maklumat dari CCTV, polis berjaya menahan suspek yang merupakan seorang penganggur bersama sejumlah besar pakaian dalam wanita yang disimpan di beberapa bahagian di rumah sewanya.
“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek melakukan perkara berkenaan di kawasan lain dalam daerah ini,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama 14 hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.