LHDN serah 2,450 bakul makanan kepada golongan terjejas akibat Covid-19

0
180

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah (kiri) menyerahkan bakul makanan kepada Yang Di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin

CYBERJAYA – Prihatin dengan nasib yang menimpa golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyumbang sebanyak 2,450 bakul makanan melalui Program CSR Hasil Prihatin di empat negeri hari ini.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, pelaksanaan program tersebut digerakkan serentak pada hari ini di Sabah, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.

Katanya, program itu dibuat selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan demi memastikan kelangsungan hidup mereka pada waktu yang sangat mencabar ini.

“Di Sabah, Yang Di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkenan menghadiri Program CSR Hasil Prihatin yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Nur Juhar (YNJ).

“Dalam program itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah menyerahkan bantuan 600 bakul makanan kepada beliau yang kemudiannya akan diagihkan kepada penduduk setempat,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, katanya, di Kelantan pula Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob telah menyempurnakan upacara penyerahan 750 bakul makanan sumbangan LHDN kepada wakil-wakil penduduk dari empat daerah yang dikenal pasti terkesan dengan penularan wabak Covid-19 iaitu Tumpat, Kuala Krai, Peringat dan Kota Bharu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua dari kanan) menyempurnakan upacara penyerahan 750 bakul makanan sumbangan LHDN

Katanya, sebanyak 600 bakul makanan pula diagihkan kepada wakil-wakil masjid dan surau di sekitar daerah Johor Bahru untuk diserahkan kepada penerima yang telah dikenal pasti.

“Antara masjid dan surau yang terlibat ialah Surau Al Muhajirin di Taman Sinaran Kempas, Masjid Annur di Taman Cendana, Surau Assolawatil Hikmah, Taman Desa Mutiara, Surau Ar Raudah, Taman Nusantara, Surau An Nur, Taman Daya dan Surau Jumaat yang terletak di Taman Skudai Kanan,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 500 bakul makanan pula diserahkan kepada penduduk di projek perumahan rakyat (PPR) Hiliran Ampang dan Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Katanya, pemberian sumbangan itu khusus untuk penduduk yang kurang berkemampuan di kawasan PPR Hiliran Ampang, Kampung Orang Asli Ulu Kemensah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Keramat, Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Taman Keramat, Tabika Perpaduan Sri Selangor, PPR Wangsa Sari serta PPR Desa Rejang.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here