
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan khabar angin mengenai pelantikan beliau sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang baharu.
Dalam kenyataannya di Twitter hari ini, beliau mengaku tidak menerima sebarang makluman mengenai pelantikan disebar sejak semalam.
“Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” kata Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu.
Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian sebagai mengulas sumber media yang mengatakan beliau akan menggantikan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatannya semalam.
Shamsul Anuar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli petang semalam, sejurus keputusan Majlis Tertinggi UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mahdzir sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dari Mei 2013 hingga Julai 2015, sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2018.
Beliau juga adalah bekas Menteri Besar Kedah dari Disember 2005 hingga Mac 2008.