Maszlee dakwa tawaran PM seperti halalkan politik wang

0
197
Dr. Maszlee Malik

CYBERJAYA –  Tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pembangkang dalam perutusan khas semalam seperti menghalalkan politik wang untuk kekal berkuasa.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, tawaran itu  juga bercanggah dengan apa yang Muhyiddin utarakan sebelum ini iaitu menghapuskan politik wang.

“Anehnya beliau mengutarakan beberapa agenda reformasi sedangkan agenda paling penting bagi reformasi politik ialah menghapus politik wang. 

“Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Semalam, Perdana Menteri menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan.

Cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bipartisan di Parlimen.

Mengulas lanjut, Maszlee juga yakin perutusan khas itu adalah pengakuan terbuka Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana dan Muhyiddin perlu meletakkan jawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here