Mat Sabu kecil hati, terguris dengan pelantikan Ismail Sabri

0
1610

Mohamad Sabu

CYBERJAYA – Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu meluahkan rasa kecil hati dan terguris apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan hari ini.

Beliau berkata, ini kerana Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum (PRU) lalu tidak memperoleh mandat semula untuk membentuk kerajaan.

“Saya mengalu-alukan perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Walaubagaimanapun saya berasa kecil hati dan terguris apabila mereka yang mendapat mandat rakyat dalam PRU Mei 2018 tidak memperolehi mandat itu semula.

“Mungkin rakyat melihat proses pilihan raya itu telah menjadi sia sia. Oleh itu proses ‘Parliamentary Democracy’ di Malaysia perlu diperteguhkan semula. Beri keyakinan kepada rakyat agar ‘Peristiwa Shareton Move 2020’ tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, jika perkara itu berulang lagi ia bermakna sistem yang dipilih telah hancur dan perlu diperbaiki menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat adalah sukar apabila yang menang menjadi pembangkang dan yang kalah menjadi kerajaan.

“Rakyat perlu membuat pilihan. Yang penting sistem demokrasi berparlimen perlu dipertahankan,” ujarnya.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu susulan peletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Pelantikan Ismail Sabri itu menutup peluang untuk PH yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali berkuasa selepas pakatan itu memenangi PRU Ke-15 dengan menewaskan Barisan Nasional (BN).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here