
KUALA LUMPUR – Dua parti komponen Barisan Nasonal (BN) iaitu MCA dan MIC bertegas untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga Parlimen dibubarkan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendirian itu diambil sebagai mematuhi ketetapan yang dibuat BN tahun lalu iaitu untuk kekal menyokong kerajaan sedia ada.
“Biro politik MCA kekal dengan keputusan dibuat pada tahun lalu iaitu menyokong kerajaan PN hingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Selagi keputusan itu kekal, kita akan bersama rakan perjuangan dalam BN dan akan bersama-sama dan berharap rakyat akan buat keputusan melalui PRU nanti,” katanya dalam sidang akhbar bersama 21 Ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada PN hari ini.
Sementara itu Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, partinya turut berpegang kepada pendirian sama.

“Kita memang pegang keputusan Majlis Tertinggi MIC dan keputusan pucuk pimpinan BN, sebagai ahli Parlimen kami diberi peluang bertanding atas tiket BN, bukan MIC.
“Jadi keputusan kena dibuat di peringkat BN, keputusan sehingga kini adalah kita sokong kerajaan di bawah PN, di bawah Muhyiddin,” katanya.-MT