
CYBERJAYA – Penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan adalah selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan parti itu yang memberikan kuasa mutlak kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini berkata, berikutan itu isu penangguhan tersebut tidak perlu dibangkitkan lagi.
“Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada pihak RoS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.
“Pentafsiran yang diberikan oleh peguamcara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO jelas menyatakan penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT.
“Oleh sebab itu, UMNO hanya perlu memaklumkan kepada RoS,” kata Ahmad Maslan.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan RoS pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 yang berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 tidak lagi berbangkit.
“Telah wujud satu harapan yang sah oleh pihak UMNO ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti. UMNO berharap dengan penjelasan ini, polemik antara UMNO dan RoS dapat diselesaikan,” katanya lagi.
RoS semalam memaklumkan keputusan MKT UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.
Justeru itu, UMNO perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.