Muhyiddin sah letak jawatan, minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia

0
29

Tan Sri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan ke arah petugas media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau bersama seluruh barisan Kabinet telah meletakkan jawatan selepas bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara tengah hari tadi.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu diambil selepas beliau hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyerahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna saya dan seluruh ahli jemaah menteri telah meletakkan jawatan.

“Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,” katanya dalam satu perutusan khas sebentar tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau juga telah megambil pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Namun, katanya, ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

Sementara itu, dalam nada sebak, Muhyiddin turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia sepanjang 18 bulan menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya dan rakan-rakan dalam jemaah menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih kita hadapi pada masa ini.

“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here