
CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih sebagai Perdana Menteri yang sah selepas mendapat majoriti sokongan daripada Ahli Parlimen.
Muhyiddin berkata, dakwaan bahawa beliau telah hilang sokongan adalah tidak benar kerana telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan.
“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.
“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya dalam satu perutusan khas yang dibuat sebentar tadi.
Mengulas lanjut, katanya, dakwaan mengenai kerajaan Perikatan Nasional telah hilang majoriti timbul selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada dirinya.
Katanya, menerusi warkah itu Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perkara 43 (2) (a) dan Perkara 43 (4).
“Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.
“Dan kedua, Perkara 43 (4) iaitu jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak berbangkit kerana beliau measih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa kini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Perdana Menteri kerana Muhyiddin didakwa mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lalu.
Menurut Ahmad Zahid lagi, UMNO juga telah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong angka yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan diri daripada menyokong PN dan Perdana Menteri.-MT