Noh Omar nafi u-turn, dakwa tandatangan senarai kehadiran dimanipulasi

0
327
Tan Sri Noh Omar

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar menafikan membuat pusingan U dengan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang media hari ini.

Noh berkata, pendirian beliau adalah jelas iaitu menyokong pendirian yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menarik semula sokongan kepada PN dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, beliau juga akur dengan titah oleh Yang di-Pertuan Agong supaya keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri perlu diputuskan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan bersidang pada bulan hadapan.

“Timbul kekeliruan susulan sidang media oleh timbalan perdana menteri tadi yang mengaitkan nama saya menyokong Perdana Menteri. Saya lihat dalam media masa dan laporan berita, laporan itu tak berapa tepat kerana ia tak sebut sampai bila (sokongan diberikan).

“Saya ingin jelaskan pagi tadi saya dipanggil dalam perjumpaan oleh Ahli Parlimen dan saya hadir. Semasa itu saya ada tandatangani senarai kehadiran perjumpaan itu. Senarai itu kemudiannya tersebar dalam media sosial.

“Saya nak tegaskan tandatangan itu hanya tandatangan kehadiran mesyuarat bukannya bagi sokongan atau tak bagi sokongan atau akuan sumpah,” katanya dalam sidang akhbar yag disiarkan secara langsung menerusi UMNO Online hari ini.

Menurut Noh, dalam perjumpaan itu, beliau bersetuju bahawa kerajaan yang ada hari ini masih sah sehingga Dewan Rakyat bersidang semula melainkan terdapat titah baharu oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, katanya, beliau juga bersetuju dengan desakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain supaya Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat satu perjumpaan bersama semua Ahli Parlimen terlibat untuk menerangkan keputusan yang dibuat oleh MKT.

Katanya, sebagai ahli MKT beliau sedar tidak semua Ahli Parlimen UMNO berada dalam MKT dan tidak memahami keputusan dibuat itu.

“Ahli Parlimen hendak dapatkan penjelasan lebih jelas kerana ada ahli Parlimen yang tak terlibat dalam mesyuarat MKT kecuali ahli Parlimen macam saya yang juga ahli MKT. Saya jelas apa yang dipersetujui dalam MKT.

“Pendirian saya jelas saya bersetuju dan akur dengan keputusan MKT UMNO untuk tarik sokongan daripada menyokong Perdana Menteri,” tegasnya.

Sementara itu, Noh turut menafikan dirinya mudah dijual beli dan tidak tetap pendirian apabila dikaitkan dengan senarai 31 Ahli Parlimen BN yang menyokong PN.

“Saya ingin nafikan saya ini mudah dibeli dan pendirian saya flip flop. Pendirian saya sebagai pemimpin UMNO adalah yang benar saya kata benar dan tak benar saya kata tak benar.

“Saya jadi ahli Parlimen bukan sebab Noh Omar tapi sebab parti dan jentera parti, tanpa parti siapalah saya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here