
TOKYO – Pasukan Australia mengesahkan tempat di perlawanan akhir acara hoki lelaki setelah berjaya menewaskan Jerman 3-1, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Padang Utara Stadium Hoki Tokyo sebentar tadi, pasukan Jerman terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Lukas Winfeder pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti.
Australia kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Tim Brand pada minit ke-7, dan mendahului menerusi pukulan sudut penalti Blake Govers pada minit ke-27.
Pada suku keempat perlawanan, Jerman yang terdesak mencari gol penyamaan mengeluarkan penjaga gol, Alexander Stadler dan memasukkan seorang pemain penyerang.
Pertukaran taktikal itu bagaimanapun tidak berhasil apabila The Kookaburras berjaya menambah satu lagi gol menerusi jaringan padang Lachlan Thomas Sharp pada minit ke-59.
Dalam perlawanan akhir pada Khamis nanti, Australia akan bertemu juara dunia, Belgium yang terlebih dahulu layak setelah mengalahkan India, 5-2.
Perlawanan penentuan pemenang pingat gangsa turut berlangsung pada hari yang sama, dengan India menentang Jerman.