
Khairy Jamaludin
CYBERJAYA – Orang ramai tidak digalakkan untuk menjalankan ujian antibodi untuk vaksin Covid-19 kerana masih tiada garis panduan klinikal yang rasmi dikeluarkan.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar, seperti mana garis panduan dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat serta amalan di negara lain, ujian tersebut adalah tidak digalakkan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) bakal keluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkara itu),” kata Khairy selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Persada PLUS, hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini masih belum ada garis panduan klinikal untuk ujian antibodi mana yang boleh hasilkan keputusan yang tepat.
Bagaimanapun, Khairy menambah, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan kajian mendalam mengenai kesan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas sistem imun dan hasil kajian akan diumumkan kepada orang ramai.