
CYBERJAYA- Sebarang kenyataan mengenai pendirian PAS terhadap kemelut politik ketika ini hanya akan dikeluarkan oleh Presiden dan Setiausaha Agung sahaja.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS memandang serius perkembangan terkini kemelut politik yang sedang berlaku dalam kerajaan.
“Ketika ini, PAS menegaskan untuk terus mendukung kerajaan Perikatan Nasional dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bersama-sama memberi tumpuan bagi menangani penularan wabak Covid-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan oleh kerajaan.
“PAS juga akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini. Justeru, diharapkan seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid- 19,” katanya dalam kenyataan hari ini.