Pasangan suami isteri buat ‘eksperimen sosial’ ditahan polis

0
1124
Tangkap layar daripada akaun Facebook Mujaheeda Soleha tentang eksperimen sosial dilakukannya

KLANG – Pasangan suami isteri yang mencetuskan kontroversi apabila melakukan ‘eksperimen sosial’ masuk ke beberapa kedai dan makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu dilakukan pukul 5 petang semalam di rumah mereka di Bandar Putera 2, dekat sini.

Katanya, penahanan dibuat susulah pihaknya menerima aduan berhubung penularan medium media sosial pemilik akaun bernama Mujaheeda Soleha yang memuat naik kenyataan berkisarkan tentang ekperimen sosial mereka.

“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam.

“Kedua-dua mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil polis,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 269 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan selain Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

Sehubungan itu, Shamsul Amar menegaskan orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Semalam tular tangkap layar daripada akaun Facebook seorang individu bernama Mujaheeda Soleha
yang melakukan ‘eksperimen sosial’ bersama suaminya untuk melihat sama ada boleh makan di kedai tanpa melengkapkan dua dos vaksin, dikecam orang ramai.

Wanita berkenaan dilihat dengan bangga menceritakan kejayaannya dan suami pergi ke beberapa premis termasuk kedai makan tanpa sebarang masalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here